Showing posts with label francais. Show all posts
Showing posts with label francais. Show all posts

Wednesday, 23 November 2016

Masa Hadapan Industri Francais di Malaysia



Perkara mengenai industri francais merupakan satu kaedah pemasaran yang berasaskan pemberian hak dan tanggungjawab sudah dibincangkan sebelum ini. Malah, industri francais komited bagi menjalankan sesuatu perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga, sistem, lokasi atau kawasan dan jangkamasa yang ditentukan.Manakala dari sudut perundangan (Akta Francais) pula,francais didefinasikan sebagai kontrak atau perjanjian samada secara nyata atau tersirat, secara lisan atau tertulis di antara 2 orang atau lebih di mana francaisor berhak untuk membenarkan francaisi mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais yang ditentukan oleh francaisor selama tempoh yang ditentukan oleh francaisor. 
Jika dilihat dari segi masa hadapan francais, laporan KPDNKK menyatakan bahawa ramai peserta francais sangat bergantung pada agensi kerajaan untuk pembiayaan dan sokongan, seperti geran dan pinjaman mudah. Malah, dalam industri francais, penjenamaan berbilang produk memberikan peluang kepada perniagaan francais di Malaysia untuk mengembangkan dan menjangkau pasaran yang lebih besar sambil mengukuhkan jenama francais berbilang. Di Malaysia, contoh penjenamaan berbilang adalah apabila jenama Cinnabon dan Aunty Anne’s Pretzel dimiliki oleh usahawan yang sama dan sering dipasarkan bersama.
Setakat ini, pemfrancaisan sambilan belum lagi wujud di Malaysia, iaitu apabila francaisi bekerja dengan keupayaan sambilan kurang daripada 40 jam seminggu. Disebabkan jenis model francais ini, ia lebih sesuai dengan francais berasaskan perkhidmatan walaupun ia juga boleh memainkan peranan dalam skim pemfrancaisan mikro, yang melaluinya perbelanjaan francais ini lebih mampu ditanggung. Di negara maju, teknologi dalam talian terbukti berjaya meningkatkan kecekapan dan sifat mesra perniagaan dalam pendaftaran dan pemfailan tahunan.
Teknologi menghantar dan mengarkibkan dokumen francais untuk syarikat francais dalam negeri dan antarabangsa boleh didapati secara meluas, membolehkan dokumen yang diserahkan kepada pembeli prospektif dan perakuan mereka direkodkan dan diselenggarakan dalam fail yang selamat untuk francaisor. Oleh itu, masa hadapan industry francais di Malaysia menjadi cerah dengan adanya teknologi dalam talian membolehkan penjimatan dibuat dari segi pentadbiran dan keperluan penyimpanan serta mengurangkan kesilapan. Kajian 2007 di AS menunjukkan francaisor sederhana membelanjakan lebih daripada AS$2,8000 (RM9,800) untuk pencetakan dan pos sahaja. Penjimatan masa juga salah satu faktor, apabila kajian itu mendedahkan bahawa 92% memerlukan bantuan pentadbiran untuk menyediakan dan mengepos pendedahan mereka.
Tambahan pula, masa hadapan francais menjadi konsisten dengan adanya permintaan terhadap produk dan perkhidmatan pematuhan Syariah semakin meningkat dalam tahun kebelakangan dengan populasi Islam dianggarkan berjumlah 1.8 bilion setakat 2010. Bilangan ini dijangka mewakili 30 peratus daripada jumlah populasi dunia menjelang 2025. Berdasarkan penyelidikan terkini oleh Forum Halal Dunia, Malaysia menunjukkan bahawa jumlah saiz pasaran makanan halal global bernilai kira-kira AS$635 bilion (RM2,030 bilion) pada 2009 dan dijangka mencecah AS$662 bilion (RM2,100 bilion) pada 2010.
Pakar industri halal percaya bahawa seluruh industri halal (semua produk dan perkhidmatan halal tidak termasuk perbankan) kini dianggarkan bernilai AS$2.3 trilion (RM7.4 trilion). Ini memberi Malaysia peluang untuk turut menjadi pusat francais Islam, dengan sijil dan logo halal Malaysia diterima di seluruh dunia dan penggunaan MS 1500:2004 Malaysia sebagai standard halal antarabangsa oleh Suruhanjaya Codex Alimentarius. Standard ini ialah satu-satunya rujukan halal di bawah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (“WTO”) yang menyediakan garis panduan tentang pelabelan produk halal.
Dari segi perniagaan halal boleh francais, konsep halal tidak terpakai hanya kepada penyediaan produk makanan, tetapi turut merangkumi kosmetik, farmaseutikal, pakaian, perkhidmatan kewangan dan pakej pelancongan. Ini membolehkan julat perniagaan yang luas dan pelbagai difrancaiskan dan dieksport ke pasaran yang menguntungkan seperti rantau Timur Tengah dan China.

Cabaran Francaisi dan Francaisor di Malaysia



Industri francais mempunyai beberapa halangan dan cabarannya yang melibatkan francaisi dan francaisor di Malaysia. Kerenah birokrasi kerajaan yang berterusan ketika kelulusan pendaftaran francais didakwa menyebabkan bakal francaisor di negara ini berada dalam dilema, sekali gus menjejaskan pertumbuhan industri berkenaan. Oleh hal demikian, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Francorp Malaysia (Francorp Malaysia), Affandy Faiz mendakwa masalah yang dihadapi termasuk terpaksa menunggu lebih dua bulan lamanya untuk mendapatkan kelulusan selepas permohonan dikemukakan.
Malah, Affandy berpendapat, sebarang cadangan pengubahsuaian yang tidak munasabah tanpa mengambil kira pandangan usahawan atau bakal francaisor (pemilik francais), terbabit dalam permohonan yang dikemukakan akan merosakkan keunikan sistem perniagaan yang dicadangkan itu kerana ia memiliki keistimewaannya tersendiri.Katanya lagi, setiap angka termasuk yuran francais, pelaburan permulaan, modal pusingan dan unjuran keuntungan yang dicadangkan dalam permohonan itu diperoleh berdasarkan prestasi semasa dan kajian mendalam yang dijalankan oleh syarikat tersebut. Menurut Affandy, berdasarkan kepada kerenah birokrasi tersebut, hanya kurang daripada 20 peratus syarikat francais di negara ini telah mendapat kelulusan daripada kementerian berkenaan. Sehubungan itu, beliau berasa bimbang terhadap masa depan industri berkenaan kerana para usahawan mungkin tidak lagi berminat menceburi bidang francais dan mencari alternatif lain untuk mengembangkan perniagaan mereka. Jika fenomena ini tetap berterusan maka usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perniagaan francais di rantau ini akan menemui kegagalan.
Justeru, salah satu isu yang telah dikenalpasti menyumbang kepada kurangnya penggunaan sistem perniagaan francais di kalangan usahawan dalam pengembangan perniagaan mereka adalah kurangnya pemahaman dan pengetahuan mengenai sistem francais. Kebanyakan penggiat francais tempatan didapati kurang mantap dalam pengurusan perniagaan secara am dan khususnya dalam pengurusan rangkaian francais. Isu ini juga mengakibatkan kebergantungan penggiat francais kepada Kerajaan dalam membantu dan membimbing mereka bagi menghadapi isu dan cabaran dalam menjalankan perniagaan francais mereka. Walaupun program pembangunan francais telah wujud lebih daripada satu dekad dan adanya bantuan kerajaan, namun kemajuan industri francais di Malaysia adalah perlahan dan ketinggalan di belakang negara maju yang lain dalam francais seperti yang dinyatakan sebelum ini. Ini juga berpunca daripada pelaksanaan dan penyempurnaan yang lemah dalam program pembangunan terdahulu.

Sistem Sokongan oleh Pihak Kerajaan dan Swasta Industri Francais di Malaysia



Industri francais sememangnya menyumbang pendapatan kepada ekonomi Negara. Kerajaan optimis industri francais negara mampu terus berkembang meskipun berdepan suasana ekonomi global yang kurang memberangsangkan, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Basaruddin Sadali. Menurutnya, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan pertumbuhan industri francais, termasuk mengadakan promosi di luar negara dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Basaruddin Sadali menyifatkan destinasi lain untuk program promosi berkenaan ialah Jakarta, Manila dan Melbourne. Sementara itu, Basaruddin berkata kementerian itu meneruskan Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) dengan peruntukan RM2 juta setahun. Diperkenalkan dalam Bajet 2015, EFDP bertujuan menambah baik Program Pembangunan Francais, dengan fokus untuk mengembangkan perniagaan francais ke pasaran eksport. Selain usaha yang dilaksanakan kementerian dan agensi, inisiatif francaisor dan francaisi yang sentiasa melakukan penambahbaikan turut membantu industri mengharungi cabaran ekonomi.Terdahulu, Basaruddin berkata AFM 2016 yang dianjurkan oleh Persatuan Francais Malaysia dengan kerjasama KPDNKK, akan berlangsung pada 11 Nov. Program ini akan menyaksikan 17 jenama francais tempatan dan antarabangsa bersaing merebut lima kategori sistem francais dan tiga kategori terbuka, selain kategori utama iaitu Francais Terbaik 2016.

Tahap Pembangunan Industri Francais di Malaysia



Industri francais mempunyai tahap pembangunan yang efisien dalam memastikan perniagaan industri francais tempatan berdaya saing dengan jenama asing, pengetahuan, pembinaan keupayaan dan kompetensi para penggiat francais dalam pengurusan francais adalah amat penting. Kerjasama antara agensi-agensi Kerajaan serta pihak-pihak berkaitan perlu juga diberikan penekanan supaya usaha pembangunan industri francais adalah berkoodinasi dan menyeluruh.

Justeru,menerusi tahap pembangunan industri francais, kemajuan teknologi perlu dieksploitasikan secara menyeluruh bagi manfaat industri francais negara. Untuk tujuan tersebut, adalah disyorkan strategi-strategi di bawah teras utama, iaitu:

  1. Mewujudkan tenaga kerja francais yang bertauliah untuk meningkatkan standard dan memenuhi keperluan industri 
  2. Membina kapasiti dan kecekapan modal insan francais
  3. Jalinan kerjasama antara Kerajaan, Akademia dan pihak Industri Francais 
  4. Memanfaatkan teknologi untuk mengukuhkan industri francais

Tambahan pula, dalam usaha ke arah pembangunan industri francais dan menjadikan industri francais yang bersifat dinamik, penggiat-penggiat francais yang berdisiplin dan beretika perlu dibentuk dari sekarang. Untuk itu, persekitaran perniagaan yang kondusif dengan rangka perundangan dan peraturan yang tegas perlu disediakan. Selain itu, peranan institusi Kerajaan dan bukan Kerajaan yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri francais tempatan perlu diperkukuh dan diselaraskan bagi memastikan pertumbuhan industri yang seimbang.Matlamat ini dapat dicapai dengan :

  •   Menyediakan persekitaran kawalselia yang kondusif dan mesra perniagaan.
  •  Mewujudkan mekanisme penyelesaian pertikaian
  • Meningkatkan kecekapan dan penyelarasan institusi penggalak
  • Meningkatkan kemudahan pembiayaan, pelaburan dan penerokaan perniagaan francais baru yang strategik
  • Meningkatkan peranan badan bukan kerajaan dalam menyokong industri yang diterajui oleh sektor swasta melalui platform rangkaian yang lebih baik.

Justeru, strategi yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional akan dijadikan sebagai hala tuju dan panduan dalam pencapaian objektif iaitu perkembangan industri francais tempatan dan sumbangan industri francais kepada ekonomi negara. Memandangkan pertumbuhan menyeluruh industri francais negara turut memerlukan penglibatan kementerian dan agensi Kerajaan lain, adalah penting supaya kerjasama rapat di antara kementerian dan agensi Kerajaan berkaitan serta penggiat industri francais diadakan ke arah pencapaian matlamat pembangunan industri francais nasional yang mampan.

Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional



Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional bertujuan untuk menetapkan hala tuju strategik yang menyeluruh bagi membangunkan sektor industri francais di Malaysia supaya sektor ini berdaya saing, efisien dan mampu memanfaatkan penggiat-penggiat industri francais negara. Pelaksanaan strategi ini mengambilkira faktor jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang serta garis masa bagi mempercepat dan menyusun rancangan pelaksanaan yang berkesan dan memasukkan sasaran sementara indikatif untuk memudahkan dan menilai proses perancangan. Dalam hal ini, objektif-objektif pelan ini adalah seperti berikut :
1. Menilai pembangunan industri francais berdasarkan petunjuk utama seperti penyertaan francaisor dan francaisi bagi perkembangan industri francais tempatan dan sumbangan industri francais kepada ekonomi Negara
2.    Mengkaji semula dasar, strategi dan program pembangunan semasa.
3.    Menentukan hala tuju industri francais negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai pusat francais di rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah menjelang 2020.

Pelan Induk ini mempunyai matlamat untuk meluaskan tumpuan dalam pembangunan francais daripada sektor campuran yang lebih pelbagai disasarkan, termasuk beberapa sektor niche yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya secara sistem francais, seperti pelancongan perubatan, eco-tourism, perkhidmatan dan produk pematuhan syariah serta produk dan perkhidmatan hijau. Sasaran ini bertepatan dengan agenda pembangunan negara seperti yang telah digariskan melalui Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Wawasan 2020.

           Kepentingan industri francais kepada Malaysia terkandung di dalamPelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012-2016 meliputi dua fasa implementasi dengan fasa 1 bermula pada tahun 2012 hingga tahun 2014 dan fasa 2 daripada tahun 2015 hingga tahun 2016. Pada tahun terakhir fasa 2 implementasi Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional, adalah disasarkan sejumlah 860 syarikat francais berdaftar dengan sumbangan jualan industri francais kepada KDNK meningkat kepada 4.3% berbanding 2.2% pada masa kini, diikuti dengan jumlah jualan francais per kapita meningkat kepada RM1,110 berbanding RM470 yang dicatatkan sekarang. Peratus peluang pekerjaan di dalam industri francais juga dianggarkan akan meningkat kepada 1.3 hingga 2.5% dari jumlah keseluruhan peluang pekerjaan negara. Pelan induk pembangunan francais akan dikaji semula bagi fasa 3 yang meliputi tempoh dari tahun 2017 hingga2020 bagi mencapai sasaran sumbangan kepada KDNK sebanyak 9.4% dengan bilangan sebanyak 1,140 syarikat francais berdaftar. strategi dan 139 pelan tindakan yang berbentuk program, projek dan inisiatif telahdikenalpasti dan digariskan sebagai tunjang mekanisme pelaksanaan. Empat teras utama tersebut adalah seperti berikut :

  • Meningkatkan daya saing industri francais Malaysia 
  •  Transformasi perniagaan melalui francais
  • Membangunkan kecekapan modal insan francais
  • Mengukuhkan ekosistem francais yang lebih dinamik.