Showing posts with label pelancongan. Show all posts
Showing posts with label pelancongan. Show all posts

Tuesday, 29 November 2016

Langkah-langkah Mendorong dan Membangunkan Industri Pelancongan



Industri pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembanguna negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.
Tambahan, langkah mendorong dan membangunkan industri pelancongan yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Banyak produk pelancongan yanng wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yanng diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.


Di samping itu, pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia bagi membangunkan dan mendorong industri pelancongan Malaysia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.



Sumbangan industri pelancongan kepada Negara



Industri pelancongan memberikan sumbangan kepada negara. sumbangan industri pelancongan yang pertama ialah menyumbang kepada pendapatan negara. Pada tahun 2015, menteri di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjelaskan bahawa kerajaan telah menyasarkan kehadiran seramai 29 juta pelancong yang membawa kepada pendapatan mencecah RM89 billion terhadap negara. Hal ini adalah disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Jadi, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan banyak. Setiap pelancong yang datang semestinya akan berbelanja untuk kemudahan asas melancong seperti pengangkutan dan makanan. Justeru itu, wang hasil daripada perbelanjaan tersebut akan menambahkan pendapatan negara dan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi dan kemudahan-kemudahan pelancongan di negara ini.


Menurut Kementerian Pelancongan Malaysia, industri pelancongan, merupakan penyumbang ketiga terbesar terhadap ekonomi negara selepas sektor pembuatan dan kelapa sawit.  Sektor ini banyak membuka peluang pekerjaan serta perniagaan. Menurut angka Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia, jumlah kedatangan pelancong asing meningkat daripada 24.6 juta orang dengan pendapatan RM56.5 bilion pada 2010 kepada 24.7 juta orang dengan pendapatan RM58.3 bilion tahun lepas. Diiktiraf oleh World Tourism Organization (UNWTO) sebagai negara kesembilan paling tinggi dilawati di dunia dari 2009 hingga 2011, Malaysia turut berada pada kedudukan ke-14 teratas daripada segi pendapatan sektor pelancongannya.
Sektor pelancongan negara menunjukkan peningkatan untuk muncul sebagai penyumbang pendapatan negara kasar (PNK) ketiga tertinggi negara tahun lepas walaupun jumlah ketibaan pelancong menunjukkan kemerosotan. Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, dari segi resit pelancongan, ia menurun sebanyak 4 peratus daripada RM72 bilion kepada RM69.1 bilion pada 2015, manakala jumlah ketibaan pelancong merosot sebanyak 6.3 peratus daripada 27.4 juta orang pada 2014 kepada 25.7 juta orang.
1.0         Industri Pelancongan dan Sistem Sokongan Kerajaan dan Swasta
Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited mempergiatkan rancangan masa depan, persediaan dan pelaksanaan pelbagai usaha bagi menarik kehadiran pelancong secara besar-besaran ke Malaysia. Menurut Kementerian Kewangan (Mof), semua usaha itu akan menyokong Rancangan Malaysia Ke-11, yang menggariskan tumpuan menarik pelancong yang menyumbang hasil tinggi bagi meningkatkan lagi sumbangan industri pelancongan kepada ekonomi. Menurut MoF, Malaysia adalah negara tropika yang indah di samping mempunyai banyak produk unik lagi menarik, bagi menawarkan pengalaman berharga dan terbaik kepada pelancong. Susulan daripada Mesyuarat Perundingan Bajet 2017 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 Jun 2016, MoF akan terus membabitkan pemegang kepentingan relevan bagi mendapatkan input dalam penyediaan bajet berkenaan melalui kumpulan fokus. Sehubungan itu, MoF menambah, beberapa mesyuarat kumpulan fokus dijadual diadakan sepanjang bulan ini, dengan kumpulan kecil untuk mendapatkan pandangan dan syor mengenai perkara khusus.
Tambahan pula, industri pelancongan bukan sahaja telah mendapat perhatian besar Kerajaan dan swasta yang terlibat, tetapi juga orang ramai dan media massa tempatan yang banyak memperkatakan mengenai perkembangan yang berlaku dalam bidang pelancongan serta potensinya. Walaupun pelancongan di Malaysia boleh dikatakan baru berkembang berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, tumpuan yang diberi kepada sektor pelancongan sekarang membuktikan bahawa masyarakat Malaysia semakin sedar mengenai peranan penting yang boleh dimainkan oleh pelancongan di dalam pembangunan ekonomi negara.Kesedaran ini perlu bagi membolehkan sektor ini mendapat sokongan dan penglibatan sepenuhnya pengusaha-pengusaha dan penyertaan rakyat secara langsung dan tidak langsung. Kemajuan yang telah dicapai setakat ini tentunya memberi perangsang kepada kita untuk meningkatkan usaha memajukan lagi sektor ini. Faedah-faedah yang telah dinikmati oleh mereka yang mengambil peluang daripada perkembangan sektor pelancongan seperti penyediaan kemudahan penginapan, makanan, pengangkutan, barang-barang cenderamata dan lain-lain perkhidmatan kepada pelancong-pelancong asing dan tempatan akan menggalakkan lebih ramai lagi pengusaha dan peniaga melibatkan diri dalam industri ini.
Selain itu, usaha-usaha kerajaan dan swasta menggalakkan rakyat untuk bercuti dan betrbelanja dalam negara juga dapat dilihat dengan beberapa langkah yang telah diambil oleh kerajaan seperti pelaksanaan lima hari bekerja untuk sektor awam mulai Julai 2005 dan mengisytiharkan cuti sepenuhnya pada hari Sabtu dan Ahad. Pemberian cuti ini diharapkan dapat menyemai budaya melancong dalam kalangan rakyat Malaysia agar mereka menjadikan percutian itu sebahagian daripada cara hidup mereka (Badaruddin,2009). Pelbagai aktiviti yang menarik telah  diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.  Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dapat  memperkenalkan  negara  kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar  negara  seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi jugaterbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja.
Malah, industri pelancongan di Malaysia masih mempunyai potensi yang besar untuk tumbuh dengan pesat. Jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di mana pelancongan sudah menjadi sektor utama dalam struktur ekonomi mereka, pelancongan di Malaysia masih menjadi penyumbang ketiga besarnya kepada tukaran asing negara. Bilangan mereka yang terlibat di dalam sektor ini masih lagi rendah. Selain daripada tempat- tempat tertentu yang dibanjiri oleh pelancong dan pelawat terutamanya semasa musim cuti sekolah, masih banyak lagi kawasan pelancongan dan tempat lain yang menarik yang boleh diperkenalkan. Memandangkan pelancongan boleh memainkan peranan sebagai penggerak utama kepada peningkatan mutu hidup rakyat dan pendapatan negara, pihak Kerajaan akan terus memberi galakan serta sokongan untuk membolehkan sektor pelancongan berkembang maju (Najib Tun Razak, 2015).

Kepentingan Industri pelancongan Kepada Negara



Tidak dapat disangkal lagi bahawa industri pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan negara. Sektor pelancongan telah dinobatkan sebagai punca pendapatan kedua terbesar negara selepas Petroleum. Sektor pelancongan ini membawa impak yang besar dalam merencanakan pembangunan negara. Lebih-lebih lagi, Malaysia juga telah diberi jolokan sebagai syurga makanan apabila dikaitkan dengan kewujudan masyarakat majmuk yang terdapat di Malaysia. Sebenarnya, usaha-usaha untuk memajukan sektor pelancongan negara haruslah dilakukan oleh semua pihak.
Industri pelancongan sememangnya memberikan kepentingan yang positif kepada Negara dari segi ekonomi, sosial dan politik. Malah, industry pelancongan sememangnya membuka peluang pekerjaan yang lebih luas dalam sektor tersebut. Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan,  pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir. Selain itu, industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat. Perkembangan industri ini menjadikan nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraf tangan, pertanian dan penternakan. Hal ini mampu mengurangkan kadar pengganguran di negara kita. Pada masa sama , taraf hidup rakyat juga akan meningkat. 




Tambahan pula, industri pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Ia turut merupakan salah satu daripada kepentingan apabila pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.
Di samping itu,industri pelancongan juga dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Seperti yang dijeloaskan oleh Perdana Menteri, industry pelancongan member keuntungan kepada Negara apabila pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Oeh itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang dari segi ekonomi terhadap negara kita.
Selain itu industri pelancongan mendatangkan kepentingan terhadap budaya tempatan lantaran membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat.  Melalui pelancongan, kita berpeluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing.  Penduduk di negara kita dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan pelancong asing yang datang ke negara kita untuk mengetahui keadaan politik, sosial, dan ekonomi negara mereka.  Mereka pula akan mengetahui budaya serta amalan yang unik  dalam kalangan masyarakat di negara kita.  Contohnya, amalan “rumah terbuka” yang diamalkan oleh segelintir rakyat negara kita.  Jadi, fitnah yang berkaitan dengan negara kita dapat dilenyapkan dan pelancong asing yang datang ke negara kita juga akan bertambah. Jelaslah bahawa sektor pelancongan dapat membantu dalam memupuk persefahaman antara masyarakat sejagat.

Tahap Pembangunan Industri Pelancongan Malaysia



Pelancongan merupakan satu industri yang sedang berkembang maju di dunia termasuk Malaysia. Ini disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang semakin baik di samping peningkatan kualiti hidup penduduk dunia seperti kadar pendapatan, kesihatan dan waktu terluang. Pelancongan dilihat mampu menjadi ejen perubahan terhadap landskap ekonomi, alam sekitar dan sosial sesebuah kawasan. Ia mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baharu, menjanakan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk tempatan serta menggunakan sumber jaya sedia ada sebagai tarikan pelancong. Kerajaan mensasarkan pembangunan pelancongan tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar disebabkan lokasi ini mempunyai kekayaan alam semulajadi dan warisan kebudayaan (Mohamad Zaki, Johan & Norhanim, 2012).
Pembangunan industri pelancongan dilihat mempunyai „kuasa untuk membangun dan menambahbaik‟ persekitaran, memelihara budaya dan sejarah, menyediakan dana untuk pemuliharaan sumberjaya, menetapkan had penggunaan lestari (sustainable use limits) dan melindungi tarikan alam semulajadi. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pelancongan juga turut mempunyai „kuasa untuk memusnah dan merosakkan persekitaran. Sekiranya pelancongan tidak dirancang dan dilaksanakan secara baik, ia boleh merosakkan tumbuh-tumbuhan, menimbulkan masalah kesesakan dan sampah sarap berlebihan, masalah pembinaan tidak terkawal, masalah pencemaran, masalah perumahan, masalah saliran dan pembentungan serta mengenepikan keperluan dan struktur penduduk setempat atau masyarakat.




Perancangan dan pembangunan pelancongan di sesebuah destinasi perlu diuruskan dengan baik supaya destinasi mampu bertahan dalam tempoh yang panjang di samping menyumbangkan manfaat kepada persekitaran. Berdasarkan Berita Harian (2015), industri pelancongan telah memberi sumbangan ketara kepada ekonomi negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP). Menurut  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014. Sejak pengenalan NTP, industri pelancongan telah memainkan peranan dalam membuka peluang baharu untuk rakyat Malaysia dan oleh itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atas kempen promosi yang agresif di luar negara.
 Justeru, Perdana Menteri menyifatkan hasil daripada kempen promosi tersebut, negara tidak lagi dikenali sebagai 'negara antara Singapura dan Thailand.'
"Kempen promosi telah berjaya menampilkan keunikan, keharmonian dan kepelbagaian kita. Kita adalah negara contoh sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana. "Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2015 pada 27 September dengan tema '1 Bilion Pelancong, 1 Bilion Peluang' telah memberi semangat kepada hala tuju Malaysia ke arah 2020."
Menurutnya, sektor pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia pada tahun lepas dengan industri itu menarik pelaburan sebanyak RM19.4 bilion serta mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan. Dalam merealisasikan potensi yang dimiliki Malaysia daripada keindahan pulau-pulau Borneo sehingga ke hutan tropika dan syurga membeli-belah, kerajaan akan menjadikan industri pelancongan sebagai sempadan baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, kata Najib. Menurutnya pengumuman langkah-langkah proaktif ekonomi baru-baru ini telah menyaksikan peruntukan tambahan RM80 juta untuk memperhebatkan aktiviti promosi di pasaran terpilih termasuk di negara-negara ASEAN, China dan India.
Tambahan lagi, Perdana Menteri menjelaskan ia melibatkan program membangunkan produk ikonik termasuk memberi nahas baharu kepada Muzium Negara, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana, menjadikan ia lebih menarik dan mudah dikunjungi oleh pelawat.
"Pada 2017, Malaysia akan memiliki resort destinasi bersepadu paling menarik, Desaru Coast Destination. Ia menawarkan kehidupan mewah dan aktiviti santai dengan merangkumi hotel dan resorts mewah, lapangan golf, perkampungan membeli-belah, taman tema air dan sebuah pusat persidangan.”
Justeru, Perdana Menteri memulakan NTP dengan visi untuk mewujudkan sebuah sistem yang mampan bagi membangunkan negara demi kepentingan rakyat Malaysia. NTP telah membolehkan aspirasi kerajaan untuk tahun 2020 dicapai menerusi kaedah rasionalisis dan oleh itu terdapat keperluan untuk mempelbagaikan ekonomi negara. Malah, industri pelancongan memainkan peranan penting bagai memperkukuhkan kepelbagaian ekonomi Malaysia. Program NTP telah memanfaatkan rakyat Malaysia secara langsung termasuk industri pelancongan.