Tuesday 29 November 2016

Tahap Pembangunan Industri Pelancongan Malaysia



Pelancongan merupakan satu industri yang sedang berkembang maju di dunia termasuk Malaysia. Ini disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang semakin baik di samping peningkatan kualiti hidup penduduk dunia seperti kadar pendapatan, kesihatan dan waktu terluang. Pelancongan dilihat mampu menjadi ejen perubahan terhadap landskap ekonomi, alam sekitar dan sosial sesebuah kawasan. Ia mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baharu, menjanakan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk tempatan serta menggunakan sumber jaya sedia ada sebagai tarikan pelancong. Kerajaan mensasarkan pembangunan pelancongan tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar disebabkan lokasi ini mempunyai kekayaan alam semulajadi dan warisan kebudayaan (Mohamad Zaki, Johan & Norhanim, 2012).
Pembangunan industri pelancongan dilihat mempunyai „kuasa untuk membangun dan menambahbaik‟ persekitaran, memelihara budaya dan sejarah, menyediakan dana untuk pemuliharaan sumberjaya, menetapkan had penggunaan lestari (sustainable use limits) dan melindungi tarikan alam semulajadi. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pelancongan juga turut mempunyai „kuasa untuk memusnah dan merosakkan persekitaran. Sekiranya pelancongan tidak dirancang dan dilaksanakan secara baik, ia boleh merosakkan tumbuh-tumbuhan, menimbulkan masalah kesesakan dan sampah sarap berlebihan, masalah pembinaan tidak terkawal, masalah pencemaran, masalah perumahan, masalah saliran dan pembentungan serta mengenepikan keperluan dan struktur penduduk setempat atau masyarakat.




Perancangan dan pembangunan pelancongan di sesebuah destinasi perlu diuruskan dengan baik supaya destinasi mampu bertahan dalam tempoh yang panjang di samping menyumbangkan manfaat kepada persekitaran. Berdasarkan Berita Harian (2015), industri pelancongan telah memberi sumbangan ketara kepada ekonomi negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara (NTP). Menurut  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sektor pelancongan negara kini menjadi penyumbang keenam terbesar kepada ekonomi negara dengan sumbangan sejumlah RM161 bilion atau 14.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) pada tahun 2014. Sejak pengenalan NTP, industri pelancongan telah memainkan peranan dalam membuka peluang baharu untuk rakyat Malaysia dan oleh itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan atas kempen promosi yang agresif di luar negara.
 Justeru, Perdana Menteri menyifatkan hasil daripada kempen promosi tersebut, negara tidak lagi dikenali sebagai 'negara antara Singapura dan Thailand.'
"Kempen promosi telah berjaya menampilkan keunikan, keharmonian dan kepelbagaian kita. Kita adalah negara contoh sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan sederhana. "Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2015 pada 27 September dengan tema '1 Bilion Pelancong, 1 Bilion Peluang' telah memberi semangat kepada hala tuju Malaysia ke arah 2020."
Menurutnya, sektor pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia pada tahun lepas dengan industri itu menarik pelaburan sebanyak RM19.4 bilion serta mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan. Dalam merealisasikan potensi yang dimiliki Malaysia daripada keindahan pulau-pulau Borneo sehingga ke hutan tropika dan syurga membeli-belah, kerajaan akan menjadikan industri pelancongan sebagai sempadan baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, kata Najib. Menurutnya pengumuman langkah-langkah proaktif ekonomi baru-baru ini telah menyaksikan peruntukan tambahan RM80 juta untuk memperhebatkan aktiviti promosi di pasaran terpilih termasuk di negara-negara ASEAN, China dan India.
Tambahan lagi, Perdana Menteri menjelaskan ia melibatkan program membangunkan produk ikonik termasuk memberi nahas baharu kepada Muzium Negara, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana, menjadikan ia lebih menarik dan mudah dikunjungi oleh pelawat.
"Pada 2017, Malaysia akan memiliki resort destinasi bersepadu paling menarik, Desaru Coast Destination. Ia menawarkan kehidupan mewah dan aktiviti santai dengan merangkumi hotel dan resorts mewah, lapangan golf, perkampungan membeli-belah, taman tema air dan sebuah pusat persidangan.”
Justeru, Perdana Menteri memulakan NTP dengan visi untuk mewujudkan sebuah sistem yang mampan bagi membangunkan negara demi kepentingan rakyat Malaysia. NTP telah membolehkan aspirasi kerajaan untuk tahun 2020 dicapai menerusi kaedah rasionalisis dan oleh itu terdapat keperluan untuk mempelbagaikan ekonomi negara. Malah, industri pelancongan memainkan peranan penting bagai memperkukuhkan kepelbagaian ekonomi Malaysia. Program NTP telah memanfaatkan rakyat Malaysia secara langsung termasuk industri pelancongan.



No comments:

Post a Comment