Tuesday 29 November 2016

Sumbangan industri pelancongan kepada Negara



Industri pelancongan memberikan sumbangan kepada negara. sumbangan industri pelancongan yang pertama ialah menyumbang kepada pendapatan negara. Pada tahun 2015, menteri di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menjelaskan bahawa kerajaan telah menyasarkan kehadiran seramai 29 juta pelancong yang membawa kepada pendapatan mencecah RM89 billion terhadap negara. Hal ini adalah disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Jadi, dapatlah sesebuah negara memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan banyak. Setiap pelancong yang datang semestinya akan berbelanja untuk kemudahan asas melancong seperti pengangkutan dan makanan. Justeru itu, wang hasil daripada perbelanjaan tersebut akan menambahkan pendapatan negara dan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi dan kemudahan-kemudahan pelancongan di negara ini.


Menurut Kementerian Pelancongan Malaysia, industri pelancongan, merupakan penyumbang ketiga terbesar terhadap ekonomi negara selepas sektor pembuatan dan kelapa sawit.  Sektor ini banyak membuka peluang pekerjaan serta perniagaan. Menurut angka Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia, jumlah kedatangan pelancong asing meningkat daripada 24.6 juta orang dengan pendapatan RM56.5 bilion pada 2010 kepada 24.7 juta orang dengan pendapatan RM58.3 bilion tahun lepas. Diiktiraf oleh World Tourism Organization (UNWTO) sebagai negara kesembilan paling tinggi dilawati di dunia dari 2009 hingga 2011, Malaysia turut berada pada kedudukan ke-14 teratas daripada segi pendapatan sektor pelancongannya.
Sektor pelancongan negara menunjukkan peningkatan untuk muncul sebagai penyumbang pendapatan negara kasar (PNK) ketiga tertinggi negara tahun lepas walaupun jumlah ketibaan pelancong menunjukkan kemerosotan. Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, dari segi resit pelancongan, ia menurun sebanyak 4 peratus daripada RM72 bilion kepada RM69.1 bilion pada 2015, manakala jumlah ketibaan pelancong merosot sebanyak 6.3 peratus daripada 27.4 juta orang pada 2014 kepada 25.7 juta orang.
1.0         Industri Pelancongan dan Sistem Sokongan Kerajaan dan Swasta
Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited mempergiatkan rancangan masa depan, persediaan dan pelaksanaan pelbagai usaha bagi menarik kehadiran pelancong secara besar-besaran ke Malaysia. Menurut Kementerian Kewangan (Mof), semua usaha itu akan menyokong Rancangan Malaysia Ke-11, yang menggariskan tumpuan menarik pelancong yang menyumbang hasil tinggi bagi meningkatkan lagi sumbangan industri pelancongan kepada ekonomi. Menurut MoF, Malaysia adalah negara tropika yang indah di samping mempunyai banyak produk unik lagi menarik, bagi menawarkan pengalaman berharga dan terbaik kepada pelancong. Susulan daripada Mesyuarat Perundingan Bajet 2017 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 16 Jun 2016, MoF akan terus membabitkan pemegang kepentingan relevan bagi mendapatkan input dalam penyediaan bajet berkenaan melalui kumpulan fokus. Sehubungan itu, MoF menambah, beberapa mesyuarat kumpulan fokus dijadual diadakan sepanjang bulan ini, dengan kumpulan kecil untuk mendapatkan pandangan dan syor mengenai perkara khusus.
Tambahan pula, industri pelancongan bukan sahaja telah mendapat perhatian besar Kerajaan dan swasta yang terlibat, tetapi juga orang ramai dan media massa tempatan yang banyak memperkatakan mengenai perkembangan yang berlaku dalam bidang pelancongan serta potensinya. Walaupun pelancongan di Malaysia boleh dikatakan baru berkembang berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, tumpuan yang diberi kepada sektor pelancongan sekarang membuktikan bahawa masyarakat Malaysia semakin sedar mengenai peranan penting yang boleh dimainkan oleh pelancongan di dalam pembangunan ekonomi negara.Kesedaran ini perlu bagi membolehkan sektor ini mendapat sokongan dan penglibatan sepenuhnya pengusaha-pengusaha dan penyertaan rakyat secara langsung dan tidak langsung. Kemajuan yang telah dicapai setakat ini tentunya memberi perangsang kepada kita untuk meningkatkan usaha memajukan lagi sektor ini. Faedah-faedah yang telah dinikmati oleh mereka yang mengambil peluang daripada perkembangan sektor pelancongan seperti penyediaan kemudahan penginapan, makanan, pengangkutan, barang-barang cenderamata dan lain-lain perkhidmatan kepada pelancong-pelancong asing dan tempatan akan menggalakkan lebih ramai lagi pengusaha dan peniaga melibatkan diri dalam industri ini.
Selain itu, usaha-usaha kerajaan dan swasta menggalakkan rakyat untuk bercuti dan betrbelanja dalam negara juga dapat dilihat dengan beberapa langkah yang telah diambil oleh kerajaan seperti pelaksanaan lima hari bekerja untuk sektor awam mulai Julai 2005 dan mengisytiharkan cuti sepenuhnya pada hari Sabtu dan Ahad. Pemberian cuti ini diharapkan dapat menyemai budaya melancong dalam kalangan rakyat Malaysia agar mereka menjadikan percutian itu sebahagian daripada cara hidup mereka (Badaruddin,2009). Pelbagai aktiviti yang menarik telah  diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.  Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dapat  memperkenalkan  negara  kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar  negara  seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi jugaterbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja.
Malah, industri pelancongan di Malaysia masih mempunyai potensi yang besar untuk tumbuh dengan pesat. Jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di mana pelancongan sudah menjadi sektor utama dalam struktur ekonomi mereka, pelancongan di Malaysia masih menjadi penyumbang ketiga besarnya kepada tukaran asing negara. Bilangan mereka yang terlibat di dalam sektor ini masih lagi rendah. Selain daripada tempat- tempat tertentu yang dibanjiri oleh pelancong dan pelawat terutamanya semasa musim cuti sekolah, masih banyak lagi kawasan pelancongan dan tempat lain yang menarik yang boleh diperkenalkan. Memandangkan pelancongan boleh memainkan peranan sebagai penggerak utama kepada peningkatan mutu hidup rakyat dan pendapatan negara, pihak Kerajaan akan terus memberi galakan serta sokongan untuk membolehkan sektor pelancongan berkembang maju (Najib Tun Razak, 2015).

No comments:

Post a Comment