Perkara mengenai industri francais merupakan satu kaedah
pemasaran yang berasaskan pemberian hak dan tanggungjawab sudah dibincangkan
sebelum ini. Malah, industri francais komited bagi menjalankan sesuatu
perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga, sistem, lokasi atau kawasan
dan jangkamasa yang ditentukan.Manakala dari sudut perundangan (Akta Francais)
pula,francais didefinasikan sebagai kontrak atau perjanjian samada secara nyata
atau tersirat, secara lisan atau tertulis di antara 2 orang atau lebih di mana
francaisor berhak untuk membenarkan francaisi mengendalikan perniagaan mengikut
sistem francais yang ditentukan oleh francaisor selama tempoh yang ditentukan
oleh francaisor.
Jika dilihat dari segi masa hadapan francais, laporan
KPDNKK menyatakan bahawa ramai peserta francais sangat bergantung pada agensi
kerajaan untuk pembiayaan dan sokongan, seperti geran dan pinjaman mudah.
Malah, dalam industri francais, penjenamaan berbilang produk memberikan peluang
kepada perniagaan francais di Malaysia untuk mengembangkan dan menjangkau
pasaran yang lebih besar sambil mengukuhkan jenama francais berbilang. Di
Malaysia, contoh penjenamaan berbilang adalah apabila jenama Cinnabon dan Aunty
Anne’s Pretzel dimiliki oleh usahawan yang sama dan sering dipasarkan bersama.
Setakat ini, pemfrancaisan sambilan belum lagi wujud di
Malaysia, iaitu apabila francaisi bekerja dengan keupayaan sambilan kurang
daripada 40 jam seminggu. Disebabkan jenis model francais ini, ia lebih sesuai
dengan francais berasaskan perkhidmatan walaupun ia juga boleh memainkan
peranan dalam skim pemfrancaisan mikro, yang melaluinya perbelanjaan francais
ini lebih mampu ditanggung. Di negara maju, teknologi dalam talian terbukti
berjaya meningkatkan kecekapan dan sifat mesra perniagaan dalam pendaftaran dan
pemfailan tahunan.
Teknologi menghantar dan mengarkibkan dokumen francais
untuk syarikat francais dalam negeri dan antarabangsa boleh didapati secara
meluas, membolehkan dokumen yang diserahkan kepada pembeli prospektif dan
perakuan mereka direkodkan dan diselenggarakan dalam fail yang selamat untuk
francaisor. Oleh itu, masa hadapan industry francais di Malaysia menjadi cerah
dengan adanya teknologi dalam talian membolehkan penjimatan dibuat dari segi
pentadbiran dan keperluan penyimpanan serta mengurangkan kesilapan. Kajian 2007
di AS menunjukkan francaisor sederhana membelanjakan lebih daripada AS$2,8000
(RM9,800) untuk pencetakan dan pos sahaja. Penjimatan masa juga salah satu
faktor, apabila kajian itu mendedahkan bahawa 92% memerlukan bantuan
pentadbiran untuk menyediakan dan mengepos pendedahan mereka.
Tambahan pula, masa hadapan francais menjadi konsisten
dengan adanya permintaan terhadap produk dan perkhidmatan pematuhan Syariah
semakin meningkat dalam tahun kebelakangan dengan populasi Islam dianggarkan
berjumlah 1.8 bilion setakat 2010. Bilangan ini dijangka mewakili 30 peratus
daripada jumlah populasi dunia menjelang 2025. Berdasarkan penyelidikan terkini
oleh Forum Halal Dunia, Malaysia menunjukkan bahawa jumlah saiz pasaran makanan
halal global bernilai kira-kira AS$635 bilion (RM2,030 bilion) pada 2009 dan
dijangka mencecah AS$662 bilion (RM2,100 bilion) pada 2010.
Pakar industri halal percaya bahawa seluruh industri
halal (semua produk dan perkhidmatan halal tidak termasuk perbankan) kini
dianggarkan bernilai AS$2.3 trilion (RM7.4 trilion). Ini memberi Malaysia
peluang untuk turut menjadi pusat francais Islam, dengan sijil dan logo halal
Malaysia diterima di seluruh dunia dan penggunaan MS 1500:2004 Malaysia sebagai
standard halal antarabangsa oleh Suruhanjaya Codex Alimentarius. Standard ini
ialah satu-satunya rujukan halal di bawah Pertubuhan Perdagangan Sedunia
(“WTO”) yang menyediakan garis panduan tentang pelabelan produk halal.
Dari segi perniagaan halal boleh francais, konsep halal
tidak terpakai hanya kepada penyediaan produk makanan, tetapi turut merangkumi
kosmetik, farmaseutikal, pakaian, perkhidmatan kewangan dan pakej pelancongan.
Ini membolehkan julat perniagaan yang luas dan pelbagai difrancaiskan dan
dieksport ke pasaran yang menguntungkan seperti rantau Timur Tengah dan China.
No comments:
Post a Comment