Tidak dinafikan tulang belakang ekonomi negara sejak
sekian lama ialah industri pertanian. Bidang pertanian merupakan satu industri
yang terus relevan dengan perkembangan semasa kerana keperluan industri ini
memenuhi keperluan negara dan masyarakat. Walau bagaimanapun untuk menceburi
bidang pertanian secara komersial memerlukan ilmu, kepakaran dan modal yang
besar. Masyarakat Melayu selepas merdeka hinggalah pengenalan Dasar Ekonomi
Baru masih merupakan golongan petani tradisional yang mengusahakan tanah dengan
tanaman makanan untuk keperluan sendiri atau jualan kecil-kecilan dengan kadar
pengeluaran yang terhad dan penggunaan teknologi yang ala kadar. Generasi
seterusnya yang lahir yang boleh dianggap generasi kedua petani lebih cenderung
untuk makan gaji dan tidak melihat pertanian sebagai satu industri dan
perniagaan yang menguntungkan bagi menjana ekonomi (Hasni Zainal, 2007).
Penubuhan pelbagai agensi kerajaan dalam tempoh
pelaksanaan Rancangan Pembangunan Ekonomi Lima Tahun bermula dengan Rancangan
Malaya Pertama merupakan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Tanah Melayu
untuk memperbaiki taraf hidup penduduk luar bandar dan menghapuskan jurang
perbezaan dengan penduduk di bandar. Sehingga pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru
(DEB), beberapa agensi telah ditubuhkan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi
negara melalui sektor pertanian iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
(FELDA) yang ditugaskan membuka tanah untuk tanaman komoditi berpotensi secara
ladang, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang
ditugaskan memulih dan menyatukan tanah-tanah tidak produktif agar dapat
diusahakan secara komersial dan memberi pulangan ekonomi kepada tuan tanah,
Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang ditubuhkan bagi
membantu para pekebun kecil getah, Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia
(PORIM), yang ditugaskan memajukan industri kelapa sawit negara, Lembaga
Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berfungsi dan peranan dalam memasarkan
hasil pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang ditugaskan
memajukan sektor perikanan, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang memantau
dan membantu meningkatkan pengeluaran padi bermutu dalam negara serta Institut
Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) yang memainkan peranan
dalam pembangunan penyelidikan dalam bidang pertanian.
Penubuhan agensi-agensi di atas jelas membuktikan
keperihatinan dan langkah-langkah konkrit yang diambil oleh kerajaan untuk
memperkenalkan hala tuju dan cara baru pengurusan pertanian negara agar
berpotensi untuk pengeluaran pada skala besar dan membantu petani meningkatkan
pendapatan mereka. Penukaran nama Kementerian Pertanian kepada Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani jelas membuktikan komitmen yang ditunjukkan
oleh kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai satu industri dan satu
perniagaan yang menguntungkan bukan lagi kerja kampung yang lekeh dan sinonim
dengan kemiskinan. Lonjakan perdana yang kini diusahakan oleh kerajaan ialah menggali
potensi kawasan utara Semenanjung melalui Wilayah Ekonomi Koridor Utara dengan
pengisytiharan Perlis sebagai Pusat Benih Negara.
Perkembangan semasa yang berlaku kini adalah
kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan sejak merdeka dalam membangunkan
sektor pertanian. Kini, kita telahpun berada di bawah pelan pembangunan
pertanian Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang telah dilancarkan pada
tahun 2006. Kerajaan sedar pembangunan dan usaha memperkasakan sektor pertanian
dalam menjana ekonomi negara dan melahirkan golongan usahawan tani harus
melibatkan golongan belia terutamanya yang berpendidikan bagi mengubah persepsi
dan mentaliti belia terhadap bidang pertanian. Tiga sektor utama ekonomi yang
diberikan perhatian oleh kerajaan di bawah RMK-9 ialah sektor pembuatan,
perkhidmatan dan pertanian. Sektor pertanian perlu diletakkan pada kedudukan
yang setaraf dengan sektor lain yang memerlukan tenaga mahir, berkepakaran dan
berpendidikan. Sehubungan dengan itu, usaha memodenkan sektor pertanian
memerlukan penglibatan aktif golongan belia yang berkemahiran dan berilmu
pengetahuan. Suatu transformasi perlu dilakukan untuk memupuk minat dan
mengubah persepsi belia terhadap bidang pertanian (Jabatan Perdana Menteri,
2006).
Belia yang
dimaksudkan di sini dapatlah ditakrif sebagai golongan lepasan sekolah yang
berusia 18 tahun ke atas sehingga peringkat awal dewasa iaitu 40 tahun. Menurut
Laporan Banci Penduduk oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (2000) yang
telah dilaksanakan menunjukkan golongan ini mewakili 42.1% daripada penduduk
Malaysia seramai 26 juta orang. Golongan ini juga paling produktif, mempunyai
idealisme, berfikiran matang dan kumpulan sasaran yang paling berpotensi untuk
dibangunkan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Hasrat kerajaan pada masa kini ialah melahirkan ramai
golongan belia yang menceburi sektor pertanian sepenuh masa dan menjadi
usahawan tani yang berjaya. Pada masa kini telah ada golongan belia yang
berjaya dalam industri pertanian dan membuktikan bahawa pertanian itu merupakan
satu perniagaan yang menguntungkan tetapi angka atau peratus yang terlibat
dalam bidang ini adalah terlalu kecil. Kebanyakan golongan belia lepasan
pengajian tinggi yang memiliki ijazah masih rela menunggu kerja atau mencari
kerja dalam sektor awam dan swasta daripada menceburi sektor pertanian.
Tanggapan bahawa pertanian adalah usaha tradisional, tidak menguntungkan, kerja
kampung, kotor dan tidak berpotensi perlu dikikis selaras dengan tahap
kematangan dan pendidikan yang dimiliki oleh golongan belia masa kini (Aidit
& Husnizam, 2005).
Kerajaan melalui agensi sedia ada diterajui oleh
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Belia dan Sukan
benar-benar menunjukkan kesungguhan untuk membuka peluang kepada lepasan IPT
menceburi bidang pertanian komersial. Pelbagai usaha dijalankan antaranya skim
pertanian berkelompok, projek ternakan udang, projek ternakan ikan, projek
pemeliharaan kambing baka terpilih, projek tanaman pokok Naga dan pelbagai
usaha lagi yang mendapat sokongan dari segi penyediaan tapak, bantuan modal,
khidmat teknikal dan kepakaran, khidmat pemasaran dan khidmat lepas jualan
untuk menarik minat golongan belia untuk mengambil keputusan menceburi bidang
ini.
Pembangunan dan pemodenan sektor pertanian kini dilihat
semakin rancak kerana keutamaan dan tumpuan yang diberikan secara khusus oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi ditambah dengan
pengisytiharan Malaysia sebagai hub halal serantau dan global, maka pengeluaran
makanan halal merupakan sektor yang paling berpotensi untuk dikembangkan masa
kini. Selaras dengan komitmen tersebut, Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani telah mendapat suntikan dan semangat baru untuk merancakkan kembali
industri asas tani sebagai sektor ekonomi mapan, berdaya asing dan berpotensi
besar dalam meningkatkan taraf hidup dan menjana ekonomi. Faktor utama yang
menentukan kejayaan dalam usaha memodenkan bidang pertanian sebagai satu
perniagaan ialah produktiviti, keberkesanan kos dan keupayaan mendapatkan
pasaran (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, 2006).
Jika ditinjau kembali sejarah pembangunan pertanian,
terdapat pemisahan yang ketara antara sub sektor perladangan dengan sub sektor
pertanian makanan. Sub sektor perladangan banyak dimonopoli oleh pelabur asing
dan imigran manakala sub sektor pertanian makanan banyak dipelopori oleh
masyarakat setempat dan petani tradisional dengan jumlah tanah pertanian yang
terhad dan tanah rezab yang tidak subur. Walau bagaimanapun tidak dinafikan sub
sektor pertanian makanan ini tetap menjadi penyumbang penting kepada Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) dan masih tidak ketinggalan dengan pengeluaran sektor
komoditi yang menjadi penjana utama pertumbuhan sektor pertanian (Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani, 2006).
Dalam konteks dunia moden hari ini, sumbangan masyarakat
tani perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Mahu atau tidak mahu,
golongan belia berpendidikan harus menceburkan diri dalam bidang ini bagi
merancakkan pembangunan dan rancangan pemodenannya dan merebut peluang yang
kini tersedia di depan mata dengan membuang jauh segala tanggapan negatif dan
pandangan pesimis berkaitan aktiviti pertanian. Sejajar dengan hasrat kerajaan
mengalakkan penglibatan belia sebagai usahawan tani, maka kajian ini akan
mendekati usahawan tani yang berjaya untuk berkongsi pengalaman jatuh bangun
mereka dalam dunia pertanian dan mendapatkan input-input berguna bagi sama-sama
dapat digunakan oleh golongan pelapis belia yang baru atau sedang berkira-kira
untuk menceburi bidang ini dan juga kepada pihak yang berkepentingan.