Tuesday, 29 November 2016

Cabaran Bidang Perniagaan berasaskan Pertanian



Tidak dinafikan tulang belakang ekonomi negara sejak sekian lama ialah industri pertanian. Bidang pertanian merupakan satu industri yang terus relevan dengan perkembangan semasa kerana keperluan industri ini memenuhi keperluan negara dan masyarakat. Walau bagaimanapun untuk menceburi bidang pertanian secara komersial memerlukan ilmu, kepakaran dan modal yang besar. Masyarakat Melayu selepas merdeka hinggalah pengenalan Dasar Ekonomi Baru masih merupakan golongan petani tradisional yang mengusahakan tanah dengan tanaman makanan untuk keperluan sendiri atau jualan kecil-kecilan dengan kadar pengeluaran yang terhad dan penggunaan teknologi yang ala kadar. Generasi seterusnya yang lahir yang boleh dianggap generasi kedua petani lebih cenderung untuk makan gaji dan tidak melihat pertanian sebagai satu industri dan perniagaan yang menguntungkan bagi menjana ekonomi.
Malah, bidang perniagaan berasaskan pertanian mempunyai cabaran yang tersendiri. Kemajuan terkini dan penemuan baru dalam teknologi membawa satu dimensi dan revolusi baru dalam pembangunan sektor pertanian dengan mengenalpasti bidang usaha baru yang berkaitan seperti bioteknologi dan nanoteknologi. Perkembangan ini mewujudkan hala tuju baru sektor pertanian berasaskan kemajuan sains dan penerapan teknologi maklumat dan multimedia (ICT). Banyak pembaharuan dan perubahan yang akan berlaku dalam sektor pertanian melalui pendekatan sains dan teknologi moden. Khazanah biodiversiti di Malaysia perlu dimanfaatkan melalui aplikasi teknologi agar dapat diteroka secara meluas (FAMA, 2007).


Cabaran besar yang dipikul oleh perniagaan berasaskan pertanian kini ialah menghasilkan penemuan baru yang berupaya melonjakkan sektor makanan negara ke tahap yang tinggi dan dapat diterima di peringkat global. Kegiatan pembangunan penyelidikan dalam bidang pertanian di negara kita masih lagi kurang menyerlah biarpun ada agensi ang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan misi dan maksud tersebut iaitu Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), namun masih tidak dapat menandingi hasil penyelidikan pertanian di Thailand dan Vietnam. Dari segi eksport makanan, Thailand telah menembusi pasaran eksport buah-buahan, makanan siap proses dan hasil keluaran perikanan. Walau bagaimanapun, Malaysia menunjukkan beberapa pencapaian dalam bidang bioteknologi berbanding negara Asia Tenggara yang lain dalam memajukan tanaman komoditi seperti kelapa sawit ( Hasni Zainal, 2007). Justeru, perniagaan berasaskan pertanian telah membawa satu revolusi baru di bidang pembangunan pertanian sebagai satu industri. Namun begitu, tahap kecapaiannya masih boleh dipersoalkan kerana sebahagian besar petani dan pengeluar produk pertanian negara terdiri daripada kumpulan petani kecil yang tidak memanfaatkan kemajuan teknologi dalam membangunkan usaha pertanian mereka justeru itu, revolusi pertanian memberi fokus melahirkan usahawan tani yang berpendidikan dan sedia mengaplikasikan teknologi dalam penghasilan produk pertanian.

No comments:

Post a Comment