Tuesday, 29 November 2016

Sokongan dan Bantuan Kerajaan kepada Perniagaan berasaskan Pertanian



Tidak dinafikan tulang belakang ekonomi negara sejak sekian lama ialah industri pertanian. Bidang pertanian merupakan satu industri yang terus relevan dengan perkembangan semasa kerana keperluan industri ini memenuhi keperluan negara dan masyarakat. Walau bagaimanapun untuk menceburi bidang pertanian secara komersial memerlukan ilmu, kepakaran dan modal yang besar. Masyarakat Melayu selepas merdeka hinggalah pengenalan Dasar Ekonomi Baru masih merupakan golongan petani tradisional yang mengusahakan tanah dengan tanaman makanan untuk keperluan sendiri atau jualan kecil-kecilan dengan kadar pengeluaran yang terhad dan penggunaan teknologi yang ala kadar. Generasi seterusnya yang lahir yang boleh dianggap generasi kedua petani lebih cenderung untuk makan gaji dan tidak melihat pertanian sebagai satu industri dan perniagaan yang menguntungkan bagi menjana ekonomi (Hasni Zainal, 2007).
Penubuhan pelbagai agensi kerajaan dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Pembangunan Ekonomi Lima Tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama merupakan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Tanah Melayu untuk memperbaiki taraf hidup penduduk luar bandar dan menghapuskan jurang perbezaan dengan penduduk di bandar. Sehingga pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), beberapa agensi telah ditubuhkan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara melalui sektor pertanian iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang ditugaskan membuka tanah untuk tanaman komoditi berpotensi secara ladang, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang ditugaskan memulih dan menyatukan tanah-tanah tidak produktif agar dapat diusahakan secara komersial dan memberi pulangan ekonomi kepada tuan tanah, Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang ditubuhkan bagi membantu para pekebun kecil getah, Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM), yang ditugaskan memajukan industri kelapa sawit negara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berfungsi dan peranan dalam memasarkan hasil pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang ditugaskan memajukan sektor perikanan, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang memantau dan membantu meningkatkan pengeluaran padi bermutu dalam negara serta Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) yang memainkan peranan dalam pembangunan penyelidikan dalam bidang pertanian.
Penubuhan agensi-agensi di atas jelas membuktikan keperihatinan dan langkah-langkah konkrit yang diambil oleh kerajaan untuk memperkenalkan hala tuju dan cara baru pengurusan pertanian negara agar berpotensi untuk pengeluaran pada skala besar dan membantu petani meningkatkan pendapatan mereka. Penukaran nama Kementerian Pertanian kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani jelas membuktikan komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai satu industri dan satu perniagaan yang menguntungkan bukan lagi kerja kampung yang lekeh dan sinonim dengan kemiskinan. Lonjakan perdana yang kini diusahakan oleh kerajaan ialah menggali potensi kawasan utara Semenanjung melalui Wilayah Ekonomi Koridor Utara dengan pengisytiharan Perlis sebagai Pusat Benih Negara.
Perkembangan semasa yang berlaku kini adalah kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan sejak merdeka dalam membangunkan sektor pertanian. Kini, kita telahpun berada di bawah pelan pembangunan pertanian Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang telah dilancarkan pada tahun 2006. Kerajaan sedar pembangunan dan usaha memperkasakan sektor pertanian dalam menjana ekonomi negara dan melahirkan golongan usahawan tani harus melibatkan golongan belia terutamanya yang berpendidikan bagi mengubah persepsi dan mentaliti belia terhadap bidang pertanian. Tiga sektor utama ekonomi yang diberikan perhatian oleh kerajaan di bawah RMK-9 ialah sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian. Sektor pertanian perlu diletakkan pada kedudukan yang setaraf dengan sektor lain yang memerlukan tenaga mahir, berkepakaran dan berpendidikan. Sehubungan dengan itu, usaha memodenkan sektor pertanian memerlukan penglibatan aktif golongan belia yang berkemahiran dan berilmu pengetahuan. Suatu transformasi perlu dilakukan untuk memupuk minat dan mengubah persepsi belia terhadap bidang pertanian (Jabatan Perdana Menteri, 2006).
 Belia yang dimaksudkan di sini dapatlah ditakrif sebagai golongan lepasan sekolah yang berusia 18 tahun ke atas sehingga peringkat awal dewasa iaitu 40 tahun. Menurut Laporan Banci Penduduk oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (2000) yang telah dilaksanakan menunjukkan golongan ini mewakili 42.1% daripada penduduk Malaysia seramai 26 juta orang. Golongan ini juga paling produktif, mempunyai idealisme, berfikiran matang dan kumpulan sasaran yang paling berpotensi untuk dibangunkan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Hasrat kerajaan pada masa kini ialah melahirkan ramai golongan belia yang menceburi sektor pertanian sepenuh masa dan menjadi usahawan tani yang berjaya. Pada masa kini telah ada golongan belia yang berjaya dalam industri pertanian dan membuktikan bahawa pertanian itu merupakan satu perniagaan yang menguntungkan tetapi angka atau peratus yang terlibat dalam bidang ini adalah terlalu kecil. Kebanyakan golongan belia lepasan pengajian tinggi yang memiliki ijazah masih rela menunggu kerja atau mencari kerja dalam sektor awam dan swasta daripada menceburi sektor pertanian. Tanggapan bahawa pertanian adalah usaha tradisional, tidak menguntungkan, kerja kampung, kotor dan tidak berpotensi perlu dikikis selaras dengan tahap kematangan dan pendidikan yang dimiliki oleh golongan belia masa kini (Aidit & Husnizam, 2005).
Kerajaan melalui agensi sedia ada diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Belia dan Sukan benar-benar menunjukkan kesungguhan untuk membuka peluang kepada lepasan IPT menceburi bidang pertanian komersial. Pelbagai usaha dijalankan antaranya skim pertanian berkelompok, projek ternakan udang, projek ternakan ikan, projek pemeliharaan kambing baka terpilih, projek tanaman pokok Naga dan pelbagai usaha lagi yang mendapat sokongan dari segi penyediaan tapak, bantuan modal, khidmat teknikal dan kepakaran, khidmat pemasaran dan khidmat lepas jualan untuk menarik minat golongan belia untuk mengambil keputusan menceburi bidang ini.
Pembangunan dan pemodenan sektor pertanian kini dilihat semakin rancak kerana keutamaan dan tumpuan yang diberikan secara khusus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi ditambah dengan pengisytiharan Malaysia sebagai hub halal serantau dan global, maka pengeluaran makanan halal merupakan sektor yang paling berpotensi untuk dikembangkan masa kini. Selaras dengan komitmen tersebut, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mendapat suntikan dan semangat baru untuk merancakkan kembali industri asas tani sebagai sektor ekonomi mapan, berdaya asing dan berpotensi besar dalam meningkatkan taraf hidup dan menjana ekonomi. Faktor utama yang menentukan kejayaan dalam usaha memodenkan bidang pertanian sebagai satu perniagaan ialah produktiviti, keberkesanan kos dan keupayaan mendapatkan pasaran (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, 2006).


Jika ditinjau kembali sejarah pembangunan pertanian, terdapat pemisahan yang ketara antara sub sektor perladangan dengan sub sektor pertanian makanan. Sub sektor perladangan banyak dimonopoli oleh pelabur asing dan imigran manakala sub sektor pertanian makanan banyak dipelopori oleh masyarakat setempat dan petani tradisional dengan jumlah tanah pertanian yang terhad dan tanah rezab yang tidak subur. Walau bagaimanapun tidak dinafikan sub sektor pertanian makanan ini tetap menjadi penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan masih tidak ketinggalan dengan pengeluaran sektor komoditi yang menjadi penjana utama pertumbuhan sektor pertanian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, 2006).
Dalam konteks dunia moden hari ini, sumbangan masyarakat tani perlu diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Mahu atau tidak mahu, golongan belia berpendidikan harus menceburkan diri dalam bidang ini bagi merancakkan pembangunan dan rancangan pemodenannya dan merebut peluang yang kini tersedia di depan mata dengan membuang jauh segala tanggapan negatif dan pandangan pesimis berkaitan aktiviti pertanian. Sejajar dengan hasrat kerajaan mengalakkan penglibatan belia sebagai usahawan tani, maka kajian ini akan mendekati usahawan tani yang berjaya untuk berkongsi pengalaman jatuh bangun mereka dalam dunia pertanian dan mendapatkan input-input berguna bagi sama-sama dapat digunakan oleh golongan pelapis belia yang baru atau sedang berkira-kira untuk menceburi bidang ini dan juga kepada pihak yang berkepentingan.

No comments:

Post a Comment