Wednesday, 23 November 2016

Sejarah Pembangunan Industri Francais di Malaysia



Sejarah awal pembangunan francais di Malaysia adalah merupakan model perniagaan yang menguntungkan berjuta-juta syarikat di seluruh dunia, dengan setiap francaisi mempunyai kisah kejayaannya tersendiri. Pertumbuhannya yang menggalakkan di Malaysia disebabkan popularitinya sebagai cara terbaik dalam menjalankan perniagaan. Malah, kerajaan melalui Perbadanan Nasional Berhad (PNS) telah mengambil langkah untuk menerajui usaha memupuk dan membangunkan industri francais tempatan, manakala Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyediakan rantaian nilai tambahan sebagai jentera mempromosikan perniagaan francais Malaysia.
Menyelusuri memontem sejarah awal francais Malaysia, perniagaan ini  telah bermula kira-kira 60 tahun yang lalu menerusi syarikat-syarikat seperti Singer, Bata, stesen-stesen minyak, pengedar-pengedar automobil dan perhotelan. Namun pertumbuhan pesat perniagaan ini lebih ketara apabila restoran-restoran makanan segera seperti KFC, A&W dan McDonalds mula bertapak di negara ini di sekitar tahun 70-an dan awal 80-an. Senario ini berterusan dengan pertumbuhan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang menggunakan pendekatan sistem francais, termasuk sektor berkaitan automotif (jualan kereta, pusat servis, perkhidmatan tayar, jualan alat ganti dan aksesori), kedai buku, fesyen dan pakaian, kedai runcit, salun dan kosmetik, agensi pelancongan dan penyewaan kereta, barangan kemas, percetakan, kedai gambar, optometri, farmasi, perkhidmatan kebersihan dan lain-lain.
Industri francais Malaysia menunjukkan perkembangan positif kerana menembusi pasaran global dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa apabila 59 produk tempatan berjaya mengembangkan perniagaan di 53 buah negara. Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh berkata, setakat ini, sebanyak 1,992 rangkaian outlet perniagaan francais tempatan di luar negara antaranya Marry Brown, Nelson dan Secret Recipe Cakes and Cafe.
Menurutnya, kerajaan Malaysia memberikan fokus kepada pembangunan industri francais di Malaysia sejak di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengorak langkah memperkenalkan francais pada 1993.
Malah, daripada perspektif lain, penduduk negara ini juga telah mengamalkan konsep yang agak mirip sistem francais sejak sekian lama, iaitu sistem pawah. Sistem pawah ini selalunya digunakan di dalam pemberian hak mengusahakan tanah pertanian atau pun ternakan. Menerusi sistem ini, pemilik tanah pertanian mahu pun ternakan akan memberi hak kepada pengusaha untuk mengusahakan tanah pertanian atau memelihara binatang ternakan mereka. Sebagai habuan, kedua-dua pihak akan menikmati bahagian masing-masing hasil perkongsian ini, berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

No comments:

Post a Comment