Berdasarkan Awalan Abdul Aziz (2001),
Francais adalah satu sistem perniagaan yang dikatakan bermula di Eropah dan
dikembangkan dengan pesatnya di Amerika Syarikat lebih 100 tahun yang lalu.
Perkataan francais adalah berasal daripada perkataan Perancis, franco yang
bermaksud kebebasan. Pada ketika itu, seseorang francaisi adalah merupakan
orang penting yang diberi hak dan kebebasan bagi sesuatu wilayah tertentu untuk
memastikan pelaksanaan arahan dan peraturan, termasuk membuat penilaian dan
memungut cukai.Konsep dan pendekatan ini akhirnya diterima-pakai di dalam
sektor swasta dan komersial. Sistem francais kemudiannya menjadi popular dan
dianggap sebagai satu penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran,
yang melangkaui keperluan pengguna dan sempadan negara. Sebagaimana yang
dinyatakan oleh pengarang Megatrends, John Naisbitt, franchising is
the single most successful marketing concept ever (sistem francais adalah
satu-satunya konsep pemasaran yang paling berjaya).
Malah, Awalan Abdul Aziz (2001) juga
menyatakan bahawa McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing
Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam pengedaran barangan
mesin jahit keluaran syarikat mereka di sekitar tahun 1850-an. Ini diikuti oleh
General Motors bagi industri automotif di Amerika Syarikat yang menjalankan
pemasaran kereta menerusi pelantikan pengedar francais di awal 1900-an. Senario
ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik, McDonalds oleh Ray Kroc
pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem perniagaan francais.
Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, 96 peratus daripada
rakyat Amerika telah mengunjungi Restoran McDonalds sekurang-kurangnya sekali
dan sekurang-kurangnya 8% daripada mereka sedang atau telah menikmati hidangan
McDonalds untuk hari ini.
Lebih separuh daripada penduduk
Amerika tinggal di sekitar 5 kilometer daripada Restoran McDonalds, dan sejak
40 tahun kebelakangan ini McDonalds telah mengambil 16 juta orang pekerja di
mana akhir-akhir ini syarikat berkenaan telah mengatasi U.S Army di dalam
melatih jumlah belia yang terbesar _ iaitu hampir 700,000 belia setiap tahun.
Hari ini, bagi setiap 3 jam yang berlalu, satu Restoran McDonalds yang baru
dibuka di segenap cerok dunia. Melalui operasinya yang telah mencecah 100 buah
negara di seluruh dunia, McDonalds telah menghasilkan nilai jualan tahunan
AS$30 bilion dengan pendapatan bersih melebihi AS$1.4 bilion.
Syarikat berkenaan hanya menguruskan
sendiri 15% daripada lebih 20,000 restorannya di seluruh dunia, dengan 85%
selebihnya diuruskan oleh 4,500 francaisi dan rakan kongsi. Pada masa yang
hampir sama juga, Kolonel Harlan Sanders mempelopori Kentucky Fried Chicken,
diikuti oleh rangkaian restoran makanan segera yang lain seperti Burger King,
A&W, Pizza Hut dan lain-lain. Meskipun, perniagaan francais seringkali
dikaitkan rangkaian makanan segera, namun realiti hari ini, dari segi nilai
jualan, hampir dua-pertiga daripada jualan francais sebenarnya disumbangkan
oleh industri bukan berasaskan makanan segera
Hari ini, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Pusat Sumber
Sedunia-Pembangunan Global, Persatuan Francais Antarabangsa, terdapat lebih
daripada 15,000 sistem francais di seluruh dunia dengan lebih 1 juta francaisi
dan nilai jualan tahunan kira-kira AS$1.4 trilion.
Berdasarkan kajian Persekutuan
Francais Eropah pada tahun 1998, terdapat 3,888 sistem francais di 13 negara
Eropah yang menjadi ahli persekutuan tersebut, dengan bilangan outlet
menjangkau 167,432 unit dan menyumbangkan nilai jualan tahunan sebanyak
kira-kira RM400 bilion. Di Jepun, terdapat 890 sistem francais dengan lebih
190,000 francaisi dengan nilai jualan kira-kira RM375 bilion setahun. Sementara
Australia mempunyai 747 sistem francais dengan 46,100 francaisi dan nilai
jualan tahunan kira-kira RM153 bilion.
Di New Zealand yang mempunyai hanya
kira-kira 4 juta penduduk, terdapat 250 sistem francais dengan bilangan francaisi
di sekitar 5,000 dan menyumbangkan nilai jualan sebanyak RM13 bilion setahun.
Singapura mempunyai bilangan sistem francais yang hampir sama dengan New
Zealand dan kerajaan negara berkenaan menerusi Lembaga Produktiviti dan
Piawaian telah membantu membangun dan melancarkan 56 produk francais tempatan
baru yang mewakili 460 outlet francais di seluruh negara tersebut.
Sementara Lembaga Pembangunan Perdagangan Singapura pula aktif di dalam membawa
syarikat francais tempatan ke pasaran antarabangsa.
No comments:
Post a Comment